Rabu, 17 Disember 2008

singkap sejarah penubuhan sma maiwp

ARKIB : 24/01/2007

SMA-MAIWP lahirkan generasi seimbang


LEMBARAN baru...Pelajar-pelajar SMA-MAIWP mendaftar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP) ditubuhkan dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). MAIWP menubuhkan SMA-MAIWP bagi memberi peluang kepada para pelajar yang berminat di dalam pendidikan Islam dengan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Penubuhan SMA-MAIWP diharap dapat melahirkan modal insan yang mempunyai pendidikan yang bersepadu dan seimbang dalam perlaksanaan Islam Hadhari.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Jawi, Zawanah Muhammad, pihaknya melaksanakan pendidikan agama di peringkat pra sekolah dan sekolah rendah. Pada masa ini, Jawi mempunyai 72 Tadika Islam dan 74 Sekolah Rendah Agama (SRA).

Setiap tahun dianggarkan 5,000 pelajar menamatkan pelajaran di SRA tetapi tidak dapat menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kerana Jawi tidak mempunyai sekolah menengah agama.

“Maka penubuhan SMA-MAIWP ini menjadi asas kepada Jawi menggerakkan usaha mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di SRA supaya pelajar-pelajar SRA ini mempunyai kelayakan memasuki tingkatan satu di SMA-MAIWP,” katanya kepada MEGA, baru-baru ini.

Selain itu, ia dapat menarik minat ibu bapa menghantar anak-anak belajar di SRA dan berpeluang mendapat pendidikan Islam dengan lebih intensif seterusnya membantu anak-anak supaya menguasai dan menghayati ilmu itu.

Menyedari keadaan ini, Jawi mengemukakan cadangan kepada MAIWP supaya menubuhkan sekolah menengah agama (SMA) di Kuala Lumpur dalam memainkan peranan dalam memperkasakan modal insan yang menjadi aset penting negara.

“Pada akhir tahun 2005, Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zin memberi reaksi positif dengan mempersetujui cadangan yang dikemukakan oleh Jawi dan mengarahkan untuk membuat kajian terperinci sebelum penubuhan sekolah dilaksanakan,” katanya.

Susulan daripada itu, pada Mei 2006, Jawi mengemukakan cadangan konsep SMA-MAIWP yang dipersetujui oleh MAIWP dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi pengubahsuaian bangunan sekolah yang terletak bersebelahan Masjid Saidina Othman Ibni Affan, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Konsep SMA-MAIWP merupakan sebuah sekolah yang mempunyai dua aliran iaitu aliran kebangsaan yang menguna pakai modul kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia.

Aliran agama pula menggunakan sukatan sekolah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Bagi kurikulum kebangsaan, terdapat aliran sains sosial dan sains tulen apabila pelajar-pelajar memasuki tingkatan empat.

Menurut Zawanah, pelajar SMA-MAIWP diwajibkan mengikuti kurikulum agama di dalam kedua-dua aliran itu. Bagi perancangan masa depan pula, sekolah ini bercadang menawarkan pengajian tingkatan enam yang membolehkan pelajar-pelajarnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Selain itu, para pelajar SMA-MAIWP turut menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM).

“Pelajar-pelajar juga perlu menduduki peperiksaan khas SMA-MAIWP semasa di tingkatan 4,” jelasnya.

Selain itu, semua pelajar dikehendaki tinggal di asrama yang terletak di Wisma BIM, Jalan Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur. Ia bagi menjamin pelajarnya mencapai kejayaan cemerlang di dalam pelajaran.

Kata Zawanah, langkah itu juga diharap mampu menjadikan SMA-MAIWP setanding dengan sekolah-sekolah agama yang cemerlang di negara ini.

Baru-baru ini lebih 400 pelajar dari seluruh negara menghadiri Ujian Khas kemasukan ke tingkatan satu sekolah milik Jawi ini. Ujian yang diadakan di Dewan Utama Masjid Negara itu bertujuan memilih 200 pelajar sulung SMA-MAIWP.

Pelajar yang menduduki ujian bertulis dan lisan itu hendaklah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan sekurang-kurangnya 70 lulus bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA).

Mereka juga mesti boleh membaca al-Quran dan menulis jawi serta mempunyai asas bahasa Arab sebelum menduduki ujian kelayakan tersebut. Hanya yang lulus akan ditawarkan belajar di SMA-MAIWP.

Tambah Zawanah, walaupun SMA-MAIWP baru dibuka tahun ini, pihaknya menerima permohonan yang amat menggalakkan daripada para pelajar dan ibu bapa.

“Ini menunjukkan bahawa ramai pelajar yang berminat belajar di sekolah agama serta memperlihatkan keyakinan masyarakat terhadap MAIWP,” katanya.

Sementara itu, di antara sukatan mata pelajaran kebangsaan yang diajar di SMA-MAIWP ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, pendidikan Islam, matematik, sains, sejarah, Bahasa Arab Komunikasi, geografi dan kemahiran hidup bersepadu manakala bagi mata pelajaran agama seperti Bahasa Arab Muzakirat, tafsir, fikah, tauhid, hadis dan al-Quran.

*Prasarana sekolah dan asrama SMA-MAIWP

SMA-MAIWP mempunyai satu blok bangunan yang menempatkan kelas, pusat pentadbiran sekolah, bilik guru, makmal sains, makmal komputer, perpustakaan dan dewan yang boleh diubah suai.

Selain itu, bagi kemudahan dan keselesaan pelajar-pelajar, asrama SMA-MAIWP dilengkapi dengan dewan makan untuk pelajar lelaki dan perempuan, dewan solat, bilik warden. bilik rehat dan bilik tetamu. SMA-MAIWP dijangka memulakan sesi pengajian pertamanya pada 22 Januari lalu.

Tiada ulasan: